Wednesday, September 17, 2008

Berita: Atap rumbia masih diminati

Sesapa yang dok cari atap rumbia untuk bangsal

Utusan Malaysia: 8 September 2008

KANGAR 7 Sept. - Biar pun negara kini membangun dengan pesatnya dalam bidang pembinaan apabila wujud rumah serta bangunan pencakar langit yang mengagumkan namun bagi sesetengah individu mereka lebih mementingkan keaslian dan ciri seni bina tradisional dalam pemilihan sesuatu lokasi atau tempat tinggal.

Satu ciri tradisional dalam seni bina Melayu yang menjadi lambang dan kebanggaan ialah penggunaan bumbung yang diperbuat daripada daun rumbia atau nipah.

Tidak hairan mengapa kini walaupun negara telah menyambut ulang tahun kemerdekaan kali yang ke-51, masih ada kedai, gerai, restoran, tempat rehat malahan rumah yang 'mengabadikan' bumbung yang diperbuat daripada atap daun nipah atau rumbia.

Atap tersebut menjadi pilihan kerana nilai sentimental yang ada padanya, selain ia dapat menyejukkan keadaan dalam kediaman atau tempat yang dilindunginya.

Di Perlis, satu kawasan yang terdapat ramai pembuat atap daripada rumbia dan nipah ini ialah Beseri Dalam di Beseri.



Seorang pembuat atap rumbia, Man Ismail, 68, berkata, dia mewarisi kepakaran membuat atap tradisional itu daripada arwah bapanya.

Katanya, di kawasan Beseri Dalam terdapat beberapa pembuat atap rumbia kerana di kawasan itu mempunyai banyak pokok rumbia dan ramai yang mahu mempelajari cara membuat atap rumbia sebagai satu cara meraih pendapatan sampingan.

"Saya mula membuat atap rumbia kira-kira 40 tahun lalu dengan mempelajarinya daripada arwah bapa saya, Ismail Abd. Ghani.

"Apa yang saya banggakan, walaupun kini terdapat pelbagai jenis atap moden yang baik dan berkualiti tetapi sambutan daripada orang ramai terhadap atap rumbia kekal menggalakkan walaupun tidak serancak zaman dahulu," katanya yang mengusahakan pembuatan atap rumbia bersama isterinya, Hasisah Ali, 60-an.

Man memberitahu, sejak mengusahakan secara serius kerja membuat atap rumbia, dia menerima tempahan yang banyak termasuk daripada pelanggan dari Johor dan Langkawi.

"Daripada maklum balas yang saya dapat, kebanyakan mereka membelinya untuk membuat bumbung tempat rehat, kedai, rumah. Ada yang membelinya untuk membuat bumbung serta adang untuk projek tanaman cendawan.

"Atap rumbia ini lebih istimewa daripada atap nipah kerana daunnya lebih tahan lasak dan tahan lama, jika atap gred satu yang menggunakan daun yang banyak ia dapat bertahan sehingga lebih 10 tahun," jelasnya.

Atap rumbia juga menjadi pilihan kerana daun rumbia yang digunakan dapat menahan haba panas matahari dan menjadikan ruang rumah atau tempat rehat menjadi lebih nyaman.

Menceritakan cara membuat atap rumbia, Man berkata, teknik tradisional masih dikekalkan dalam membuatnya supaya ia dapat bertahan lama dan 'khazanah' orang terdahulu terpelihara.

"Saya masih menggunakan batang buluh dan kulit pokok bemban untuk mengikatnya kerana jika menggunakan tali ia mudah reput dan putus.

"Setiap atap rumbia mempunyai panjang kira-kira 1.2 meter dan daunnya perlu dilipat agar sama panjang untuk mencantikkan atap itu," ujarnya.

Menurutnya, setiap hari sebanyak 25 keping atap rumbia dapat disiapkan seorang kerana kerja membuatnya memerlukan pemerhatian yang rapi.

"Jika atap dibuat tanpa kemasan yang betul ia akan rosak dan terkeluar jika ditiup angin jadi saya memastikan setiap atap rumbia yang dihasilkan mempunyai kualiti yang baik.

"Atap yang telah siap, diikat sebanyak 25 keping atau lebih dikenali sebagai 'mengkawan' di kalangan orang utara. Bagi setiap ikatan, saya menjualnya dengan harga RM37.50" katanya.

Selalunya daun rumbia diperoleh daripada pokok yang ditanam sendiri dan ada juga yang dikutip dari kawasan sekitar.

Bagi sesiapa yang menggemari dan meminati atap tradisional ini mereka boleh menghubungi Man di talian 04-9383581 untuk maklumat lanjut ataupun tempahan.

No comments: